Monday 1 April 2013

ESEI PENDEK

Resos adalah segala kelengkapan yang digunakan oleh guru untuk membantunya menyampaikan pengajaran. Terdapat beberapa definisi atau takrif mengenai resos daripada beberapa pihak.  
            Menurut Ng Kuen Sang (1981), kita tidak dapat memberikan takrif khusus tentang resos pengajaran tetapi ramai pendidik bersetuju bahawa penggunaan resos dalam situasi pengajaran sewaktu sesi PdP adlah melibatkan penglihatan dan pandangan pelajar. Sementara itu, Atan Long (1982) bahan-bahan dan resos pengajaran ada berbagai-bagai. Bahan-bahan itu mungkin dalam bentuk buku, carta atau slaid yang dipancarkan pada layer. Alat-alat yang menyokong penyampaian pembelajaran dipanggil resos pembelajaran.
            Resos dalam pengajaran dan pembelajaran terbahagi kepada dua jenis. Pertama resos dalam bentuk tiga dimensi dan dalam bentuk dua dimensi. Menurut, Max A.Sobel, resos juga boleh dibahagikan kepada dua kelas. Iaitu resos bercetak dan resos tidak bercetak. Antara contoh bahan resos bercetak adalah al-quran, nota edaran, risalah, jurnal, modul pembelajaran buku teks, surat khabar dan  buku rujukan. Manakala resos tidak bercetak pula terdiri daripada bahan visual bukan tayang, bahan visual tayang 2D, bahan audio, bahan audio visual, bahan computer, bahan 3D, bahan permainan dan simulasi bahan maujud.
            Jika diteliti, terdapat pelbagai kepentingan penggunaan resos dalam pengajaran dan pembelajaran. Dengan menggunakan resos, seseorang guru itu dapat menyediakan satu asas yang kuat untuk sesuatu konsep Matematik. Penguasaan konsep asas sesuatu topik Matematik adalah sangat penting kerana ia akan menjadikan penguasaan terhadapa aspek-aspek lain lebih mudah. Sebagai contoh, penggunaan blok asas 10 dalam mengajar konsep peratus adalah sangat efektif yang mana ia bukan sahaja membantu pelajar mengenal peratus malah ia juga membantu murid mengingat kembali konsep pecahan dan nombor bulat.
             Di samping itu, resos pada asasnya bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan masa dan tenaga pengajar selain dari memperkayakan pengalaman pelajar. Ini dapat dibuktikan dengan menggunakan persembahan slaid yang mana guru tidak perlu lagi membazir masa untuk menulis atau melukis di papan hitam. Tambahan pula, slaid itu juga bersifat kekal dan sekiranya mana-mana pelajar lupa akan input-input pada slaid tersebut, guru boleh mempamerkannya semula dan murid boleh menjana semula daya ingatan mereka .  
            Selain itu, dengan adanya resos ia dapat menjadikan suasana pembelajaran menjadi lebih seronok dan mencetuskan minat murid terhadap pengajaran guru. Dengan adanya resos, ia akan menjadi seolah-olah daya penarik yang cukup penting terhadap pelajar, lebih-lebih lagi jika resos itu berwarna-warni dan mempunyai bentuk yang unik. Resos juga dapat memperjelaskan penyampaian mesej bahan pengajaran dan mengatasi batasan ruang waktu dan pancaindera pelajar dengan membawa masuk situasi sebenar ke dalam bilik darjah melalui tayangan video dan sebagainya. Hal ini akan melibatkan murid secara aktif dalam proses pembelajaran dan pengajaran supaya mereka memperoleh pengalaman dan persepsi yang sama dengan orang lain.
            Bukan itu sahaja, dengan penggunaan resos sewaktu sesi PdP Matematik ini membantu guru untuk membina pemikiran berterusan bukan sahaja sepanjang sesi PdP tetapi sepanjang kehidupan mereka. Ini dapat dijana dengan mempertontonkan filem-filem bergerak atau mempersembahkan lakonan kepada pelajar mengenai mana-mana topik Matematik.
            Selain itu juga, penggunaan resos ini dapat membantu murid meningkatkan pemahaman dan perkembangan perbendaharaan kata mereka. Apabila seseorang guru menggunakan resos-resos bercetak seperti surat khabar, dari situ murid akan meningkatkan tahap penguasaan perbendaharaan kata mereka di samping menguasai konsep Matematik.
            Secara tuntasnya, penggunaan resos sewaktu sesi PdP Matematik adalah sangat penting berikutan implikasinya yang sangat positif dan efektif bukan sahaja kepada guru malah kepada pelajar jua. Sesi PdP akan menjadi lebih berkesan dan secara automatiknya, objektif PdP tersebut akan tercapai, bererti objektif kurikulum turut tercapai sesuai dengan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia.
(1,137 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment